Zubir Sulaiman, Foto Mohd Robi
Nordin (Sukan Malaysia)
6 Mei 2017
ZUBIR SULAIMAN FOTO: MOHD ROBI
NORDIN (SUKAN MALAYSIA)
Pemain T-Team, Mohd Badrul
Hisyam Morris dan Mahamadou Samassa meraikan jaringan pembukaan kem tuan rumah
seawal minit kelapan ketika turun melayan kunjungan Perak pada aksi Liga Super
di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini. - FOTO: MOHD ROBI NORDIN
(SUKAN MALAYSIA)
PASUKAN T-Team terus
mengekalkan rentak cemerlang apabila mencipta hartik kemenangan di hadapan
penyokong sendiri dengan menumpaskan Perak, 3-0 pada aksi saingan Liga Super di
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.
Kedua-dua pasukan mempamerkan
rentak permainan yang seimbang apabila masing-masing berbalas serangan ke
gawang gol, bagaimanapun kem tuan rumah terlebih dahulu mengejutkan kem pelawat
menerusi jaringan pembukaan Mahamadou Samassa seawal minit kelapan hasil
hantaran kemas Mohd Badrul Hisyam Morris.
Begitupun jaringan itu tidak
melemahkan kem pelawat apabila bangkit mengatur serangan balas dalam mencari
jaringan penyamaan, namun dua peluang keemasan itu dipersia-siakan Mohd Hafiz
Kamal (minit 17 ) dan Mohd Zaquan Adha Abdul Razak (minit 28).
Pelawat yang bekerja keras
dalam mencari jaringan sekali lagi gagal membolosi gawang tuan rumah menerusi
percubaan luar kotak penalti yang dilakukan Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-39,
namun berjaya ditepis keluar Mohd Hafidz Romly.
Pemain tengah Perak, Mohd Hafiz
Kamal sekali lagi gagal menyudahkan peluang keemasan buat pasukan pelawat
apabila sepakan percumanya sekadar singgah di palang gol pada masa tambahan
sekaligus membawa perlawanan ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua
menyaksikan pasukan T-Team memperkemaskan rentak permainan dan Mahamadou
Samassa nyaris mengukuhkan kedudukan kem tuan rumah hasil sepakan penjuru
Muhammad Fauzi Abdul Kadar, namun tandukkan dikeluarkan benteng pertahanan
pelawat pada minit ke-47.
Lima minit selepas itu, sorakan
skuad The Titans kembali bergema apabila Mohd Nor Hakim Hassan berjaya
melakukan gerakan solo ke pintu gol pelawat namun rembatannya berjaya di tepis
penjaga gawang Perak, sebelum Mohd Badrul Hisyam Morris dan Muhammad Fauzi
Abdul Kadar turut gagal memanfaatkan peluang tersebut untuk meledakkan gol.
Tuan rumah yang mempamerkan
aksi lebih berdisplin sekali lagi bijak mencipta peluang untuk menambah
jaringan menerusi larian deras Farhod Tadjiev pada minit ke-62 namun
hantarannya gagal disambut Mohd Nor Hakim Hassan apabila penjaga gawang Perak
terlebih dahulu menyekat usaha kedua-dua pemain T-Team itu.
Usaha kem tuan rumah dalam
mengukuhkan kedudukan akhirnya tertunai apabila Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris
berjaya meledakkan gol kedua T-Team pada minit ke-71 sekaligus menjadikan
kedudukan 2-0.
Dua minit selepas itu, T-Team
terus melebarkan jaringan menerusi gol ketiga yang disempurnakan dengan kemas
Farhod Tadjiev selepas bijak menyambut hantaran silang Mohd Nor Hakim Hassan
untuk terus kekal di depan.
Pelawat yang cuba mencari
jaringan sagu hati di penghujung perlawanan akhirnya terpaksa akur dengan
kekentalan barisan benteng pertahanan T-Team apabila terus ampuh memastikan
gawang gol terus tertutup buat Perak sehingga tamat perlawanan.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 6
Mei 2017