ARKIB : 23/10/2008
KUALA TERENGGANU - Terengganu
yakin menguasai antara dua tempat teratas Liga Perdana 2009 yang akan bermula
Januari ini dengan barisan baru pasukan T-Team yang terdiri daripada pemain
berpengalaman dan bakat baru, lapor IRMAN HASHIM.
Pengerusi Jawatankuasa Belia
dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said yang juga merupakan pengurus
pasukan tersebut berkata, kemenangan berkenaan akan membolehkan T-Team layak ke
Liga Super pada musim seterusnya.
''Kejayaan T-Team menjuarai
Piala FAM 2007/2008 membolehkan pasukan ini layak ke Liga Perdana.
''Justeru, saya berharap T-Team
akan mengulangi kejayaan itu di Liga Perdana dan seterusnya layak ke Liga
Super," katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara Majlis Sukan
Negeri, Pemain T-Team dan Penaja di Wisma Darul Iman di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Majlis
Sukan Negeri, Rosid Awang dan Pengurus Pemasaran Stream Enterprise (M) Sdn.
Bhd. yang merupakan pengedar berlesan jenama Admiral, Wei Chong Hwa.
Abdul Rahin berkata, pasukan
T-Team musim depan membariskan sembilan pemain berpengalaman yang pernah
mewakili pasukan-pasukan lain dan 16 pemain yang dicungkil bakat melalui
program pencarian bakat baru di kalangan penduduk Terengganu sebelum ini.
''Saya berharap pemain
berpengalaman ini akan memimpin pemain-pemain baru dalam membolehkan T-Team
mencipta kejayaan dalam setiap kejohanan yang disertainya," katanya.
Beliau memberitahu, kerajaan
negeri juga akan membantu dalam memastikan segala permasalahan dari segi
kewangan dan pengurusan dapat diselesaikan supaya tidak mengganggu prestasi pasukan
berkenaan.
Beliau memberitahu, setakat
ini, beberapa syarikat seperti Stream Enterprise (M) Sdn. Bhd. dan Inai Kiara
telah bersetuju untuk menjadi penaja T-Team.
''Stream Enterprise bersetuju
untuk menyumbang pelbagai peralatan sukan termasuk jersi yang bernilai sebanyak
RM300,000 manakala rundingan berhubung sumbangan daripada Inai Kiara masih
belum ditetapkan lagi," ujarnya
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz510FwVtl3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan