16 OKTOBER 2016
Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman
KEDUA-DUA pasukan bola sepak
Terengganu, iaitu T-Team dan Terengganu FA akan dikekalkan dan diberi sentuhan
baharu bagi menghadapi perlawanan musim depan.
Menteri Besar Terengganu, Ahmad
Razif Abdul Rahman berkata, keputusan itu diambil setelah berpuas hati dengan
pencapaian pasukan The Titans yang berjaya melangkah ke separuh akhir saingan
Liga Malaysia musim ini.
"Walaupun gagal melangkah
ke final kita berpuas hati dengan corak persembahan dan semangat juang yang
begitu tinggi ditunjukkan para pemain sehingga mampu mencapai ke tahap ini.
"Maka saya merasakan
pasukan T-Team perlu dikekalkan dan pastikan pasukan ini diberi peluang untuk
diperkemaskan lagi bagi menghadapi saingan liga dan Piala Malaysia tahun
hadapan," katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu, semalam.
Dalam perlawanan separuh akhir
kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam
menyaksikan pasukan Selangor meleburkan impian T-Team untuk melangkah ke
peringkat akhir selepas menang 3-0 ke atas pasukan tuan rumah.
Pasukan pelawat berjaya
menghasilkan gol seawal minit kedua menerusi R.Gopinathan diikuti Ugochukwu
Ukah minit ke-19 dan Andik Vermansah minit ke-90.
Ahmad Razif yang kini memangku
jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam pada itu
berkata rombakan dan penstrukturan semula pasukan Terengganu FA akan dilakukan
bagi memantapkan lagi pasukan itu yang prestasinya merudum musim ini.
Katanya, PBSNT kini dalam
rundingan terakhir bersama pengendali Felda United, Irfan Bakti Abu Salim bagi
jawatan jurulatih baharu skuad Penyu musim depan dan keputusan mengenainya akan
diketahui dalam waktu terdekat.
"Dalam masa terdekat ini
kita akan memuktamadkan dan kalau kita telah bersetuju saya akan minta beliau
(jurulatih) menandatangani segera kontrak jurulatih kerana yang paling penting
kita kena dapatkan jurulatih dulu untuk memudahkan pemilihan pemain-pemain yang
akan datang," katanya. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN 16 OKTOBER
2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan