Rabu, 13 Disember 2017

T-Team juara Pramusim 2008-2009

ARKIB : 24/11/2008
KUALA LUMPUR - T-Team memperoleh suntikan moral apabila membuka tirai Liga Perdana, Januari ini setelah bergelar juara Kejohanan Bola Sepak Pramusim 2008-2009 dengan menewaskan KL PLUS 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Jaringan Kamal Rodiarjat Md. Ali pada minit ke-15 sudah memadai untuk menghasilkan trofi kedua buat kelab berpangkalan di Kuala Terengganu itu yang baru melangkah ke Liga Perdana musim depan dengan menjulang Piala FAM, tahun ini.

Bekas pemain Pahang itu cuma perlu menolak masuk satu umpanan lintang dari sebelah kiri oleh ketua pasukan T-Team, Rosdi Talib sambil menewaskan penjaga gol kelab juara Liga Perdana musim 2007-2008, Razi Efendi Suhit.

Rabu lalu, T-Team yang dibimbing Che Ku Marzuki Che Ku Md. Noor turut menundukkan KL PLUS 4-1 pada perlawanan terakhir di Selayang sekali gus menjuarai Kumpulan B sebelum mengatasi Proton 2-0 pada separuh akhir.

Kata Che Ku Marzuki: "Tujuan sebenar kami menyertai kejohanan ini hanyalah mencari keserasian gandingan pemain lama dan baru termasuk mereka yang berpengalaman pasukan kebangsaan. Kejayaan ini meyakinkan kami untuk bersaing dalam Liga Perdana."

Jurulatih KL PLUS, Mat Zan Mat Aris mengakui agak kecewa dengan kekalahan itu bagaimanapun berkata, dia lebih menganggapnya sebagai sebahagian persediaan mengenal pasti kemampuan pasukan dan menilai tahap kecergasan serta kemungkinan barisan utama.

"Mara ke perlawanan akhir pun sudah dikira satu bonus untuk pasukan kerana kami belum dapat menguji dua lagi pemain yang masih bersama skuad negara, Irwan Fadzli Idrus dan Norhafiz Zamani Misbah," katanya yang mengakui kemampuan lawan yang bakal menyerlah dalam Liga Perdana nanti.

Enam lagi pasukan yang menjadikan Kejohanan Pramusim ini sebagai persediaan awal ke Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM musim depan ialah naib juara Piala Malaysia dan Piala FA - Selangor, Felda United, Proton, CIMB, Kuala Lumpur dan Ban Hoe Leong
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz518mk5K00

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan