Khamis, 15 September 2016

T-Team lonjak tangga lima liga

ZUBIR SULAIMAN
11 SEPTEMBER 2016
T-Team Dilshod Sharofetdinov mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya menjaringkan gol pembukaan T-Team pada minit ke-28 sekaligus membantu T-Team melakarkan kemenangan berharga di hadapan penyokong sendiri. -Foto: AIDIL MUSLIMIM
PASUKAN berstatus kelab, T-Team berjaya memanfaatkan kelebihan berakasi di gelanggang sendiri apabila meraih kemenangan 3-2  ketika turun melayan kunjungan Felda United dalam aksi saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Kemenangan itu juga turut melonjakkan skuad The Titans di tangga ke lima liga dengan mengutip 26 mata selepas mengharungi 20 perlawanan sekaligus mengukuhkan kedudukan carta liga.

T-Team yang dilihat mendominasi perlawanan hampir membuka jaringan awal pada minit kelima menerusi hantaran kemas Patrick Dos Santos, namun gagal disempurnakan dengan kemas Mohd Asrul Ibrahim.

Percubaan awal itu jelas menyuntik semangat kem tuan rumah dalam memburu jaringan dan kem T-Team terus  mencemaskan gawang pelawat menerusi dua percubaan merbahaya daripada Dilshod Sharofetdinov (minit 8) dan Patrick Dos Santos (minit 11),  tetapi gagal menemui pintu gol.

Pelawat yang sesekali mengatur serangan turut berpeluang membuka jaringan pada minit ke-13 hasil sepakan percuma Gilberto Alemao, bagaimanapun penjaga gawang T-Team, Ilham Amirullah Razali bertindak cemerlang menafikan hajat kem Felda United.

T-Team yang terus bekerja keras dalam menamatkan penantian gol akhirnya tertunai pada minit ke-28 hasil rembatan kemas dari luar kotak penalti Dilshod Sharofetdinov untuk membawa tuan rumah di depan.

Perlawanan menjadi semakin sengit apabila kedua-dua pasukan terus berbalas serangan dan skuad kendalian Rahmad Darmawan nyaris mengukuhkan kedudukkan apabila Nor Hakim Hassan bijak memperdayakan benteng pertahanan pelawat pada minit ke-34, bagaimanapun hantarannya gagal disempurnakan dengan kemas Patrick Dos Santos.

Begitupun sebelum tamat babak pertama perlawanan kem pelawat turut mencipta dua peluang menarik menerusi sepakan percuma, menerusi Francis Forkey Doe  (minit 36) dan Muhammad Shukor Adan namun gagal menemui penyudah yang berkesan sehingga membawa permainan ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua menyaksikan kem tuan rumah memperkemaskan rentak permainan dengan terus membuat dua percubaan ke gawang gol pelawat menerusi rembatan Patrick Dos Santos (minit 46) dan Nor Hakim Hassan (minit 47) tetapi mudah diselamatkan penjaga gol Felda United, Mohd Farizal Harun.

Sebaliknya kem pelawat yang melakukan serangan balas berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi Mohd Hadin Azman pada minit ke-50.

Empat minit berselang, kem tuan rumah nyaris kembali di depan selepas Nor Hakim Hassan berjaya melepasi perangkap ‘offside’ yang dilakukan benteng pertahanan pelawat tetapi pemain sayap kanan itu lambat merembat masuk peluang yang terbuka luas ketika itu.

T-Team yang enggan mengalah terus mengasak benteng pertahanan pelawat dan Makan Kanote berjaya menceriakan kem tuan rumah apabila kembali membawa skuad The Titans di depan selepas bijak menyambar hantaran Patrick Dos Santos pada minit ke-67.

Kegembiraan itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila Abdul Shukor Jusoh menjaringkan gol penyamaan tidak minit selepas itu.

Tindakan penjaga gol pelawat, Mohd Farizal melakukan kekasaran terhadap Makan Konate akhirnya mengundang padah apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-74 dan disudahkan dengan cemerlang Dilshod Sharofetdinov untuk gol ketiga tuan rumah.

Pelawat yang cuba bangkit mencari jaringan penyamaan di penghujung perlawanan akhirnya terpaksa akur dengan kebangkitan kem tuan rumah yang terus menggenggam tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri.

SUMBER-SINAR HARIAN OMLINE  11 SEPTEMBER 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan