Selasa, 19 Disember 2017

T-Team bagai barisan impian


ARKIB : 11/02/2009

PETALING JAYA - Barisan impian, itulah yang boleh digambarkan kepada pasukan T-Team selepas aksi mereka ketika menang ke atas pasukan tuan rumah dalam saingan Liga Perdana, PKNS FC 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin bagaikan tiada cacat cela, lapor FERZALFIE FAUZI.

Walaupun dikejutkan dengan jaringan pendahuluan tuan rumah pada minit ke-13 oleh Fatrurazi Rozi pasukan yang berpengkalan di Terengganu itu tidak mudah melatah dengan memperoleh empat gol sebelum perlawanan tamat.

Menurut jurulatihnya, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Noor, dia amat berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak buahnya terutama ketika beraksi di gelanggang lawan.

"Saya berterima kasih kepada pemain yang mempamerkan permainan mantap, ia termasuk di semua bahagian serangan, tengah dan pertahanan walaupun penjaga gol utama kami, Mohd. Syamsuri Mustafa tidak dapat diturunkan akibat kecederaan," katanya ketika ditemui kelmarin.

Jelasnya, gandingan mantap antara pemain kebangsaan Hairuddin Omar dan Haris Safwan Kamal membuahkan hasil apabila kedua-duanya berjaya menjaringkan gol.

"Haris dan Hairuddin mempamerkan permainan mantap di bahagian serangan manakala Rosdi Talib bersama Mohd Norhisham Hassan menjadi nadi utama di bahagian tengah.

"Sementara di bahagian pertahanan pula saya senang dengan ketenangan yang dipamerkan Norfazly Alias mematahkan serangan pasukan PKNS,'' ujarnya.

Che Ku Marzuki berkata, PKNS juga memberi tentangan sengit dengan beberapa pemain berpengalaman tetapi kecederaan yang menimpa penyerang utama mereka Fatrurazi pada separuh masa kedua memberi ruang buat pasukannya untuk menguasai perlawanan.

"Saya akan cuba mengekalkan barisan yang sama pada perlawanan seterusnya menentang Johor, Isnin depan dan mengharapkan mereka mempamerkan rentak permainan yang sama di hadapan penyokong sendiri,'' ujarnya.

T-Team kini berada di tangga ketiga liga dengan mencatatkan rekod bersih belum pernah tewas dari tiga perlawanan, menang dua kali dan seri sekali.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz51izuhwdJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Piala FA: T. Team layak ke pusingan kedua



 
ARKIB : 04/02/2009
DUA pemain Terengganu T-Team, Haris Safwan (dua dari kiri) dan Shaharizan Mat Rani (kanan) diasak lawan dari Shahzan Muda dalam saingan Piala FA di Stadium Darulmakmur, Kuantan, malam tadi. - Utusan/RUSHDI SALLEH

KUALA LUMPUR - Kelab dari Terengganu, T. Team melakukan kejutan dengan layak ke pusingan kedua Piala FA walaupun tumpas 1-2 kepada Shahzan Muda, semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur Kuantan itu, penalti Mohd. Harris Sapuan seminit sebelum permainan tamat membantu T. Team layak menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 menerusi agregat selepas Shahzan yang tewas 0-1 pada perlawanan pertama lalu bangkit dengan gol menerusi Abd. Rahman Abd. Kadir (m-22) dan Azizul Kamaluddin (m-48).

Satu lagi pasukan kelab yang layak ke pusingan kedua ialah UPB-MyTeam yang menewaskan Proton FC 3-0 di Stadium Petaling Jaya semalam untuk menang menerusi agregat 5-1.

Gol-gol UPB-MyTeam dijaringkan Mohd. Nazrin Mohd. Nawi (m-24, 90) dan Mohd. Fazrul Hazli M. Kadir (m-32).

Malang bagi Johor FC yang gagal mengikut jejak dua kelab tersebut apabila tersingkir menerusi agregat 0-1 selepas hanya sekadar mampu seri 0-0 dengan Pulau Pinang pada perlawanan kedua di Stadium JCorp Pasir Gudang, semalam.

Perak pula mencatat kemenangan agregat terbesar di pusingan pertama ini apabila layak dengan jaringan 11-1 menewaskan SDM Kepala Batas.

Ini diikuti Sarawak yang menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi agregat 8-1 manakala Perlis menang agregat 6-0 mengatasi Majlis Perbandaran Johor Baharu (MPJB)

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51gvXwMkX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 13 Disember 2017

T-Team juara Pramusim 2008-2009

ARKIB : 24/11/2008
KUALA LUMPUR - T-Team memperoleh suntikan moral apabila membuka tirai Liga Perdana, Januari ini setelah bergelar juara Kejohanan Bola Sepak Pramusim 2008-2009 dengan menewaskan KL PLUS 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Jaringan Kamal Rodiarjat Md. Ali pada minit ke-15 sudah memadai untuk menghasilkan trofi kedua buat kelab berpangkalan di Kuala Terengganu itu yang baru melangkah ke Liga Perdana musim depan dengan menjulang Piala FAM, tahun ini.

Bekas pemain Pahang itu cuma perlu menolak masuk satu umpanan lintang dari sebelah kiri oleh ketua pasukan T-Team, Rosdi Talib sambil menewaskan penjaga gol kelab juara Liga Perdana musim 2007-2008, Razi Efendi Suhit.

Rabu lalu, T-Team yang dibimbing Che Ku Marzuki Che Ku Md. Noor turut menundukkan KL PLUS 4-1 pada perlawanan terakhir di Selayang sekali gus menjuarai Kumpulan B sebelum mengatasi Proton 2-0 pada separuh akhir.

Kata Che Ku Marzuki: "Tujuan sebenar kami menyertai kejohanan ini hanyalah mencari keserasian gandingan pemain lama dan baru termasuk mereka yang berpengalaman pasukan kebangsaan. Kejayaan ini meyakinkan kami untuk bersaing dalam Liga Perdana."

Jurulatih KL PLUS, Mat Zan Mat Aris mengakui agak kecewa dengan kekalahan itu bagaimanapun berkata, dia lebih menganggapnya sebagai sebahagian persediaan mengenal pasti kemampuan pasukan dan menilai tahap kecergasan serta kemungkinan barisan utama.

"Mara ke perlawanan akhir pun sudah dikira satu bonus untuk pasukan kerana kami belum dapat menguji dua lagi pemain yang masih bersama skuad negara, Irwan Fadzli Idrus dan Norhafiz Zamani Misbah," katanya yang mengakui kemampuan lawan yang bakal menyerlah dalam Liga Perdana nanti.

Enam lagi pasukan yang menjadikan Kejohanan Pramusim ini sebagai persediaan awal ke Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM musim depan ialah naib juara Piala Malaysia dan Piala FA - Selangor, Felda United, Proton, CIMB, Kuala Lumpur dan Ban Hoe Leong
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz518mk5K00

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 11 Disember 2017

T-Team mahu kuasai tangga teratas liga

ARKIB : 23/10/2008
KUALA TERENGGANU - Terengganu yakin menguasai antara dua tempat teratas Liga Perdana 2009 yang akan bermula Januari ini dengan barisan baru pasukan T-Team yang terdiri daripada pemain berpengalaman dan bakat baru, lapor IRMAN HASHIM.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said yang juga merupakan pengurus pasukan tersebut berkata, kemenangan berkenaan akan membolehkan T-Team layak ke Liga Super pada musim seterusnya.

''Kejayaan T-Team menjuarai Piala FAM 2007/2008 membolehkan pasukan ini layak ke Liga Perdana.

''Justeru, saya berharap T-Team akan mengulangi kejayaan itu di Liga Perdana dan seterusnya layak ke Liga Super," katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara Majlis Sukan Negeri, Pemain T-Team dan Penaja di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri, Rosid Awang dan Pengurus Pemasaran Stream Enterprise (M) Sdn. Bhd. yang merupakan pengedar berlesan jenama Admiral, Wei Chong Hwa.

Abdul Rahin berkata, pasukan T-Team musim depan membariskan sembilan pemain berpengalaman yang pernah mewakili pasukan-pasukan lain dan 16 pemain yang dicungkil bakat melalui program pencarian bakat baru di kalangan penduduk Terengganu sebelum ini.

''Saya berharap pemain berpengalaman ini akan memimpin pemain-pemain baru dalam membolehkan T-Team mencipta kejayaan dalam setiap kejohanan yang disertainya," katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri juga akan membantu dalam memastikan segala permasalahan dari segi kewangan dan pengurusan dapat diselesaikan supaya tidak mengganggu prestasi pasukan berkenaan.

Beliau memberitahu, setakat ini, beberapa syarikat seperti Stream Enterprise (M) Sdn. Bhd. dan Inai Kiara telah bersetuju untuk menjadi penaja T-Team.

''Stream Enterprise bersetuju untuk menyumbang pelbagai peralatan sukan termasuk jersi yang bernilai sebanyak RM300,000 manakala rundingan berhubung sumbangan daripada Inai Kiara masih belum ditetapkan lagi," ujarnya
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz510FwVtl3

© Utusan Melayu (M) Bhd