ARKIB : 11/02/2009
PETALING JAYA - Barisan impian,
itulah yang boleh digambarkan kepada pasukan T-Team selepas aksi mereka ketika
menang ke atas pasukan tuan rumah dalam saingan Liga Perdana, PKNS FC 4-1 di
Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin bagaikan tiada cacat cela,
lapor FERZALFIE FAUZI.
Walaupun dikejutkan dengan
jaringan pendahuluan tuan rumah pada minit ke-13 oleh Fatrurazi Rozi pasukan
yang berpengkalan di Terengganu itu tidak mudah melatah dengan memperoleh empat
gol sebelum perlawanan tamat.
Menurut jurulatihnya, Che Ku
Marzuki Che Ku Mohd. Noor, dia amat berpuas hati dengan persembahan yang
dipamerkan oleh anak buahnya terutama ketika beraksi di gelanggang lawan.
"Saya berterima kasih
kepada pemain yang mempamerkan permainan mantap, ia termasuk di semua bahagian
serangan, tengah dan pertahanan walaupun penjaga gol utama kami, Mohd. Syamsuri
Mustafa tidak dapat diturunkan akibat kecederaan," katanya ketika ditemui
kelmarin.
Jelasnya, gandingan mantap
antara pemain kebangsaan Hairuddin Omar dan Haris Safwan Kamal membuahkan hasil
apabila kedua-duanya berjaya menjaringkan gol.
"Haris dan Hairuddin
mempamerkan permainan mantap di bahagian serangan manakala Rosdi Talib bersama
Mohd Norhisham Hassan menjadi nadi utama di bahagian tengah.
"Sementara di bahagian
pertahanan pula saya senang dengan ketenangan yang dipamerkan Norfazly Alias
mematahkan serangan pasukan PKNS,'' ujarnya.
Che Ku Marzuki berkata, PKNS
juga memberi tentangan sengit dengan beberapa pemain berpengalaman tetapi
kecederaan yang menimpa penyerang utama mereka Fatrurazi pada separuh masa
kedua memberi ruang buat pasukannya untuk menguasai perlawanan.
"Saya akan cuba
mengekalkan barisan yang sama pada perlawanan seterusnya menentang Johor, Isnin
depan dan mengharapkan mereka mempamerkan rentak permainan yang sama di hadapan
penyokong sendiri,'' ujarnya.
T-Team kini berada di tangga
ketiga liga dengan mencatatkan rekod bersih belum pernah tewas dari tiga
perlawanan, menang dua kali dan seri sekali.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz51izuhwdJ
© Utusan Melayu (M) Bhd