Pemain
tuan rumah meraikan jaringan pembukaan T-Team yang disempurnakan dengan
kemas Dilshod Sharofetdinov pada minit ke sembilan perlawanan.Foto:
AIDIL MUSLIMIM
PASUKAN berstatus kelab T-Team berjaya menemui rentak
kemenangan apabila meraih kemenangan bergaya 5-0 ketika turun melayan
kunjungan Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, sebentar tadi.
Kejayaan itu sekaligus mengembirakan penyokong skuad The Titans yang
sebelum ini menyaksikan T-Team terpaksa bergelut untuk mencari
kemenangan selepas kali terakhir mengutip mata penuh ketika bertemu
Pulau Pinang Februari lalu.
Kedua-dua pasukan bermula garang dengan melancarkan serangan ke gawang
masing-masing, bagaimanapun kem pelawat dilihat terlebih dahulu
mencemaskan pintu gol tuan rumah menerusi dua sepakan penjuru (minit 4,
6) namun berjaya dipatahkan benteng pertahanan T-Team.
T-Team yang mula mengatur serangan balas tidak menunggu lama apabila
Dilshod Sharofetdino berjaya meledakkan gol pembukaan tuan rumah pada
minit kesembilan hasil hantaran lintang Mahamdou Samassa.
Jaringan itu jelas menyuntik semangat skuad kendalian Rahmad Darmawan
dalam mengukuhkan kedudukan dan benteng pertahan tuan rumah, Abdoulaye
Youssouf Maiga nyaris menjaringakan gol kedua pada minit ke-17 menerusi
sepakan penjuru Mohd Nor Hakim Hassan, namun tandukkannya sedikit
tersasar.
Pelawat yang sesekali melakukan serangan turut berpeluan untuk
menjaringkan gol penyamaan menerusi percubaan jarak jauh Sandro Da Silva
pada minit ke-21 tetapi mudah dibaca Mohd Hafidz Romly.
Usaha kem Henalang Merah dalam mencari jaringan penyamaan akhirnya
mengundang padah apabila pengadil perlawanan Sureh Jayaraman melayankan
kad merah kepada Mohd Rizal Mohd Ghazali kerana mengasari pemain tuan
rumah, Mohd Fakhrurazi Musa pada minit ke-30.
Kesempatan itu berjaya dimanfaatkan pemain tuan rumah apabila Mohd Nor
Hakim Hassan berjaya mengukuhkan kedudukan untuk gol kedua T-Team pada
minit ke-37 hasil hantaran lintang Mohamad Kamal Azizi dari sebelah
kanan gawang gol Kedah.
Tertekan dengan jaringan itu, kem pelawat mula mengatur serangan, namun
percubaan Mohd Syazwan Zainon di depan gawang gol T-Team sekadar
melambung tinggi pada minit ke-42 dan Mohd Hafidz Romly turut cemerlang
menafikan hasrat Sandro Da Silva untuk merapatkan jurang kedudukan masa
tambahan.
Sebaliknya kem tuan rumah berjaya melebarkan jaringan menerusi
Mahamadou Samassa penghujung masa tambahan untuk gol ketiga T-Team
sekaligus membawa perlawanan ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, menyaksikan kedua-dua pasukan memperkemaskan
rentak permainan dan pelawat memiliki dua peluang untuk merapatkan
jurang kedudukan namun percubaan Badrol Bakhtiar (minit 52) dan Mohd
Syazwan Zainon (minit 54) gagal menemui pintu gol.
Kem tuan rumah terus melebarkan jaringan menerusi rembatan kemas Mohd
Nor Hakim Hassan pada minit ke-59 untuk gol keempat T-Team.
Lima minit berselang Mohd Nor Hakim sekali lagi menceriakan kem tuan
rumah apabila mudah menewaskan pengaja gawang Kedah, Mohd Ifwat Akmal
Chek Kassim untuk hatrik jaringan peribadinya dan gol kelima T-Team.
Pelawat yang cuba mencari jaringan saguhati bagaimanapun terpaksa akur
dengan kekalahan itu apabila kem tuan rumah terus mengenggam tiga mata
berharga di hadapan penyokong sendiri sehingga tamat perlawanan.
sumber-SINAR HARIAN ONLINE 15 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan