Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Arkitek skuad
T-Team Makan Konate (gambar) enggan memikirkan mengenai tawaran yang
diterimanya musim depan sebaliknya pemain dari Mali itu mahu fokus terlebih
dahulu aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia bertemu Selangor di Stadium
Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.
Bekas pemain B-19 Mali itu yang
bergandingan baik dengan Asrol Ibrahim pada separuh akhir pertama 1 Oktober
lalu bagaimanapun mengakui dia lebih tenang dan selesa bersama skuad kendalian
ketua jurulatih Rahmad Darmawan yang juga bertanggungjawab membawanya beraksi
dengan skuad T-Team musim ini.
“Hati saya memang untuk bersama
dengan The Titans musim depan lebih-lebih lagi gembira tinggal di bumi
Terengganu dengan suasana pantai yang cantik dan masyarakat yang peramah, namun
saya belum mahu membuat keputusan muktamad lagi pasukan mana yang akan diwakili
musim depan kerana mahu fokus aksi Piala Malaysia terlebih dulu.
“Lagipun saya tidak boleh
membuat keputusan sendiri kerana perlu berbincang dengan ejen yang membawa saya
beraksi bersama skuad T-Team ini sama ada ejen itu bersetuju atau saya akan mewakili
skuad lain musim depan,” kata pemain yang baru menamatkan zaman bujang itu.
Musim ini pemain berusia 24
tahun itu bukan hanya menjadi nadi kekuatan pasukan Tibang T-Team Tibang itu
tetapi dia turut menjadi peledak pasukan itu dan setakat ini sudah mengumpul
enam jaringan dalam saingan Liga Super.
Selain itu pemain yang juga
adik ipar kepada pemain pertahanan T-Team, Abdoulaye Youssouf Maiga turut
menjadi contoh dan pembimbing kepada pemain muda dalam skuad itu serta dilihat
kian serasi bersama pasukan kendalian Rahmad.
Mengulas lanjut, bekas pemain
kelab Persib Bandung dalam Liga Super Indonesia itu juga mahukan rakan
sepasukan tidak melakukan kesilapan mudah dan perlu lebih fokus serta beraksi
bagaikan satu pasukan bagi memastikan kelebihan 2-1 yang dimiliki lawan dapat
dipadamkan untuk layak ke final buat kali pertama.
Selain itu, Konate yang pernah
membantu kelab Persib Bandung muncul juara Liga Super Indonesia 2014 turut
mahukan rakan sepasukan melupakan sebarang permasalahan sebaliknya beraksi
bersungguh-sungguh hingga minit terakhir perlawanan serta mengikut perancangan
dan taktikal yang diatur oleh jurulatih.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 10:46 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan