Idris nasihat penyokong datang
awal ke stadium. FOTO NSTP
BERNAMA
Kuala Terengganu: Polis akan
memperketatkan pemeriksaan dan kawalan keselamatan pada perlawanan separuh
akhir kedua Piala Malaysia antara T-Team dan Selangor di Stadium Ismail
Nasiruddin Shah, di sini, Sabtu ini.
Lebih 500 anggota dan pegawai
keselamatan termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditugaskan bagi
mengawal aliran trafik dan keselamatan di dalam dan luar stadium sepanjang
perlawanan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala
Terengganu, ACP Idris Abd Rafar berkata langkah tersebut diambil bagi mengelak
sebarang kejadian yang tidak diingini melibatkan penyokong kedua-dua pasukan.
"Kita akan menempatkan
pegawai dan anggota di beberapa lokasi strategik baik di dalam dan luar stadium
selain pemeriksaan rapi di setiap pintu masuk stadium," katanya ketika
dihubungi Bernama, di sini, hari ini.
Atas faktor keselamatan, jumlah
penonton di stadium, yang berkapasiti 25,000 orang, akan dihadkan kepada 10,000
orang, katanya.
Idris turut meminta penyokong
supaya tidak membawa masuk barang larangan ke dalam stadium antaranya senjata,
mercun dan bom asap, sambil memberi amaran bahawa pihaknya tidak teragak-agak
mengmbil tindakan tegas terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan yang
ditetapkan.
"Kita mengingatkan para
penyokong tidak melakukan provokasi sehingga menimbulkan kekecohan sebelum dan
selepas perlawanan," katanya.
Katanya bagi membolehkan mereka
yang gagal mendapatkan tiket menyaksikan perlawanan tersebut, skrin besar juga
akan disediakan di kawasan berhampiran stadium.
Beliau turut menasihatkan penyokong
kedua-dua pasukan agar datang ke stadium seawal pukul 6 petang bagi mengelak
kesesakan jalan raya di bandar raya dan meletakkan kenderaan mereka di tempat
yang dibenarkan.
Pada perlawanan separuh akhir
pertama di Stadium Shah Alam, dua minggu lalu, Selangor mengalahkan T-Team 2-1.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 7:40 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan