Firdaus Hashim
firdaushashim@h
metro.com.my
Kuala Lumpur: Tuah gelanggang
sendiri bakal menjadi ‘senjata’ tambahan buat T-Team untuk mengejutkan Selangor
manakala aksi konsisten Kedah ketika ini diyakini mampu membuatkan Polis Diraja
Malaysia (PDRM) berputih mata apabila aksi separuh akhir kedua saingan Piala
Malaysia bermula malam esok.
Bekas pengendali negara yang
kini memegang jawatan selaku Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia
(PJBM) B Sathianathan berkata, T-Team dan Kedah menjadi pilihannya untuk mara
ke pentas final Piala Malaysia yang dijangka berlangsung penghujung bulan ini.
Enggan mengecilkan kemampuan
juara bertahan iaitu Selangor yang melakar kemenangan 2-1 pada aksi pertama di
Stadium Shah Alam sebelum ini, cabaran di Kuala Terengganu dilihat lebih sukar
dengan anak buah Rahmad Darmawan bakal mendapat ‘sentuhan pemain ke-12’ yang
akan memenuhi segenap ruang lingkup Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
“Saya lihat kelebihan berpihak
kepada pasukan T-Team di mana mereka akan mendapat sokongan padu penyokong
setia Terengganu. Ini mungkin faktor tambahan buat T-Team untuk menewaskan
Selangor nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
“Bukan itu saja, saya
berpandangan T-Team sebenarnya memperaga aksi lebih baik berbanding Selangor.
Walaupun tidak dibarisi pemain ternama, tetapi mereka berjaya bermain dengan
baik sekali.
“Sudah tentunya Selangor harus
mempertahankan kelebihan satu gol itu, jika tidak pasukan juara bertahan
mungkin boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Malaysia,” katanya.
Mengulas mengenai aksi di
antara PDRM dan Kedah di Stadium Hang Jebat, Melaka, beliau menyifatkan skuad
kendalian Tan Cheng Hoe itu lebih berkualiti daripada The Cops.
“Dengan adanya kelibat penolong
ketua skuad kebangsaan Baddrol Bakhtiar, saya percaya pemain tengah itu bakal
menjadi faktor penentu kepada kemaraan Kedah selain ketajaman penyerang import
mereka, Thiago Augusto di jentera serangan.
“Memang diakui ia menjadi tugas
sukar buat PDRM yang tewas 2-1 sebelum ini. Berdasarkan rekod dan berpengalaman
pemain-pemain Kedah, saya tak nampak sebab mengapa mereka tidak boleh melepasi
separuh akhir ini biarpun bermain di tempat lawan,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 11:18 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan