T-TEAM tekad bangkit di laman
sendiri.
Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Pengendali
T-Team Rahmad Darmawan tidak berminat untuk bercakap mengenai kelebihan satu
jaringan Selangor sebaliknya kini beliau lebih fokus mengadun resipi terbaik
untuk menumbangkan juara bertahan itu pada separuh akhir kedua dalam misi
mencipta sejarah melangkah ke final Piala Malaysia buat julung kali.
Rahmad yang optimis pemainnya
mampu menundukkan juara 33 kali Piala Malaysia itu di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah mengakui beliau bersama barisan kejurulatihan kini sedang melakukan
persiapan rapi walaupun perlawanan kedua masih panjang iaitu pada 15 Oktober
ini.
“Kami yakin pemain mampu
bangkit memadam kelebihan satu jaringan Selangor dalam aksi timbal balik nanti
untuk menempah tiket ke final apatah lagi bakal beraksi di laman sendiri dengan
sokongan padu daripada penyokong sendiri.
“Selain itu berdasarkan aksi
yang dipamerkan pemain pada separuh akhir pertama itu, T-Team dilihat mempunyai
kelebihan beraksi di laman sendiri dan mampu mengalahkan juara bertahan itu,”
kata Rahmad.
Pada aksi Sabtu lalu, Rahmad
yang turut diintai pasukan kebangsaan Indonesia mengakui bangga dengan prestasi
yang diperagakan anak buahnya terutama pada babak pertama hingga berjaya
meledak jaringan pendahuluan melalui sepakan penalti Patrick Dos Santos Cruz.
Bagaimanapun beliau yang
menolak tawaran untuk melatih skuad Garuda itu musim depan sedikit hampa dengan
aksi pemainnya pada babak kedua hingga membenarkan lawan menguasai sebelum
pulang hampa 1-2.
Mengulas lanjut, jurulatih
berusia 49 tahun itu yang terkejut dengan corak kurang bertenaga pemainnya pada
babak kedua akan menerapkan strategi lebih ampuh pada aksi kedua nanti di Kuala
Terengganu.
“Dengan kehadiran semula pemain
tengah Dilshod Sharofetdinov jentera tengah pasti lebih menyerlah dan saya
mahukan pemain yang akan diturunkan dalam aksi kedua nanti perlu lebih berani
mengawal bola dengan corak hantaran dekat dan lebih fokus serta tidak melakukan
kesilapan mudah yang mungkin boleh membawa padah dalam aksi penting itu.”
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 8:24 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan