ZUBIR SULAIMAN
15 OKTOBER 2016
Usah perlekeh Titans T-Team
mengharapkan ‘magis’ terbaik daripada Rahmad Darmawan untuk membawa skuad The
Titans mara ke pentas final Piala Malaysia musim ini.
“TUAH ayam nampak di kaki, tuah
manusia tiada siapa yang tahu."
Mungkin itu antara perumpamaan tepat apabila menceritakan tentang
pasukan berstatus kelab, T-Team yang kini menjadi perhatian peminat bola sepak
tanah air khususnya dalam kempen Piala Malaysia musim ini.
Jika sebelum ini, skuad yang
berpangkalan di Kuala Terengganu itu hanya dipandang ‘enteng’ malah ada
segelintir mereka berani membuat telahan ‘nakal’ dengan mengatakan skuad
kendalian Rahmad Darmawan itu, hanyalah sebagai
pelengkap kepada saingan Liga Malaysia 2016.
Begitu pun, setelah kejayaan
muncul selaku naib juara kumpulan A, Piala Malaysia, pasukan T-Team mula
membuktikan kemampuan sebenar walaupun tidak dibarisi pemain ternama, namun
mereka berupaya memberikan saingan sengit
cabaran setiap pasukan lawan.
Lebih menggembirakan apabila
pasukan yang kembali mewarnai saingan Liga Super musim ini selepas setahun
mengharungi Liga Perdana itu, tampil mengejutkan pencabar utama, Felda
United dalam aksi suku akhir dengan
kejayaan membanggakan, sekali gus mengulangi kejayaan lima tahun lalu untuk
mara ke separuh akhir Piala Malaysia.
TARIK PERHATIAN
KEJAYAAN itu dilihat bukan
sahaja berjaya meraih sokongan dalam kalangan peminat bola sepak di Terengganu,
malah difahamkan hampir kesemua tonggak utama pasukan T-Team itu mula mendapat
perhatian beberapa pasukan gergasi bola sepak negara dalam memperkuatkan
pasukan mereka musim depan.
Malah pemain muda skuad The
Titans dikatakan turut berpeluang untuk membuat penampilan di persada
antarabangsa apabila corak permainan yang ditampil pemain terbabit berjaya
memikat sebuah pasukan kelab dari negara jiran.
Bagaimanapun, senario itu tidak
membuatkan skuad The Titans terus dibuai lena apabila menyedari masih ada tugas
lebih penting yang harus dilaksanakan
dalam memburu slot ke pentas final Piala Malaysia pada perhitungan
terakhir saingan separuh akhir kedua bertemu Selangor di hadapan penyokong
sendiri malam nanti.
OPTIMIS
SEMENTARA itu, ketua
jurulatihnya, Rahmad Darmawan optimis kem bimbingannya mampu memanfaatkan
peluang keemasan itu untuk melakarkan sejarah baharu buat pasukan T-Team dalam
kancah saingan Piala Malaysia, meskipun Selangor berjaya membawa bekalan selesa
pada pertemuan itu nanti.
Menurutnya, persiapan rapi
telah pun dilakukan sejak lebih seminggu yang lalu dan mengakui pemainnya kini
berada dalam kecergasan terbaik untuk melayan kunjungan Selangor sekali gus
mengharapkan kejayaan menjadi milik mereka.
“Fokus kami pada perlawanan itu
nanti bukan sahaja untuk mencari gol, malah pemain juga perlu mengelak dari dibolosi,
jadi pemain harus mengimbangi 90 minit itu nanti.
“Insya-ALLAH sekiranya pemain
mengikuti setiap perancangan yang dilakukan, saya yakin mereka mampu memberi
satu persefahaman yang lebih baik dan mempamerkan rentak yang berbeza
berbanding aksi di Shah Alam,” katanya.
Apa yang pasti pasukan T-Team
mengharapkan ‘magis’ terbaik dari pengendali kelahiran Indonesia itu dalam
memastikan bekas juara bertahan musim lalu itu mampu dijinakkan untuk meneruskan impian mara saingan ke pentas
final Piala Malaysia musim ini.
Meskipun turun tanpa kelibat
benteng pertahanan kental, Abdoulaye Maiga, namun ketua jurulatih berusia 50
tahun itu yakin anak buahnya sudah bersedia untuk berdepan apa juga halangan
yang bakal diberikan kem Selangor sehingga tamat perlawanan.
SUMBER-SINAR HARIAN 15 OKTOBER
2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan