17 Oktober 2016 12:31 AM
PENYERANG TFC II, Patrick Dos
Santos (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Selangor Mohd. Rizal Fahmi Ab
Rosid (kiri) dan Ugochukwu Ukah dalam separuh akhir Piala Malaysia di Kuala
Terengganu, kelmarin. BERNAMA
KUALA TERENGGANU 16 Okt. –
Setelah untung rugi kewujudan pasukan Terengganu FC II (TFC II) dicongak pada
setiap hujung musim, kerajaan negeri akhirnya memberi jaminan, pasukan itu
tidak akan dibubarkan.
Menteri Besar, Ahmad Razif
Abdul Rahman berkata, pasukan bertaraf kelab yang dahulunya dianggap ‘adik’
kepada Terengganu FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bagaimanapun
menunjukkan prestasi lebih membanggakan daripada skuad utama.
Malah kerajaan negeri berhasrat
memantapkan lagi pasukan itu, namun tanpa melibatkan perubahan besar berbanding
rombakan yang akan dibuat terhadap Terengganu FC.
“Walaupun tidak berjaya
mencipta sejarah mara ke final Piala Malaysia, kita puas hati dengan corak
permainan dan semangat juang yang begitu tinggi.
“Maka skuad ini perlu
dikekalkan, malah kami akan memastikan ia diberi peluang dan diperkemaskan lagi
bagi mengadapi saingan musim depan.
“Bagi Terengganu FC, rombakan
akan dibuat dan kita sedang mengadakan perbincangan dengan Irfan Bakti. Kita
mahu selepas ini skuad Penyu diberi suntikan baharu dan dapat bermain dengan
cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita ketika menyaksikan aksi separuh akhir Piala Malaysia, TFC II
menentang Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini semalam.
Dalam perlawanan itu, TFC II
gagal membuat kejutan di hadapan lebih 10,000 penonton di sini setelah tewas
0-3 kepada juara bertahan, Selangor.
Ahmad Razif menarik perhatian,
rombakan Terengganu FC akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan kini dalam
proses perbincangan terakhir dengan Irfan bagi kerusi jurulatih.
“Kita mahu melihat Terengganu
FC berwajah baharu, pasukan yang telah dibuat transformasi. Langkah ini
mustahak untuk mengembalikan kegemilangan skuad pada musim akan datang malah saya
juga sudah minta Rozi mengenalpasti pemain-pemain yang perlu kita cari,”
katanya.
Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE
17 Oktober 2016